Saturday, September 1, 2012

۝ PERBICARAANNYA DENGAN AL-QURAN ۝


Kisah 27


Abdullah bin al-Mubarak menceritakan ketika dia mengerjakan haji dan melakukan ziarah ke Masjid Nabi di Madinah, dia bertemu dengan seorang perempuan tua yang memakai tudung bulu.

Ibn Mubarak memulakan perbicaraannya denga perempuan tua itu dengan member salam, “Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.”
Dia menjawab, “Ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.” (Yaasin : 58)
Ibn Mubarak berkata, “Semoga Allah merahmatimu. Apa yang kamu buat di sini?”
Dia menjawab, “Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya.” (Al-A’raf : 186)
Mendengar jawapan itu, Ibn Mubarak faham yang dia telah tersesat jalan, lalu bertanya, “Kamu mahu pergi ke mana?”
Dia menjawab, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin).” (Al-Isra’ : 1)
Ibn Mubarak faham yang dia telah pun mengerjakan haji dan ingin pulang ke Palestin.
Ibn Mubarak bertanya, “Sejak berapa lama kamu sudah berada di tempat ini?”
Dia menjawab, “Tiga malam.” (Maryam : 10)
Ibn Mubarak bertanya, “Aku tidak melihat apa-apa makanan yang ada pada kamu. Apa yang kamu makan?”

Dia menjawab, “Dan Tuhanlah yang memberikan makan dan minum.” (Asy-Syu’ara’ : 79)
Ibn Mubarak berkata, “Sekarang bukan bulan Ramadhan.”
Dia menjawab, “Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah member balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah : 158)
Ibn Mubarak berkata, “Kita dibolehkan untuk tidak berpuasa ketika dalam perjalanan.”
Dia menjawab, “Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184)
Ibn Mubarak bertanya, “Di manakah air wudukmu?”
Dia menjawab, “Kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamun dengan tanah debu, yang suci.” (An-Nisa’ : 43)
Ibn Mubarak bertanya, “Kenapa kamu tidak berbicara seperti aku?”
Perempuan tua itu menjawab, “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa seida (menerima dan menulisnya.” (Qaf : 18)
Ibn Mubarak bertanya inginkan kepastian, “Manusia apakah kamu ini?”
Dia menjawab, “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Al-Isra’ : 36)
Ibn Mubarak berkata, “Aku telah melakukan kesalahan, maka tunjukkanlah aku jalan keluar.”
Dia menjawab, “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu). Semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” (Yusuf : 92)
Ibn Mubarak bertanya, “Mahukah kamu naik untaku ini supaya kita dapat mengekori rombonganmu yang telah pergi?”
Dia menjawab, “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah.” (Al-Baqarah :197)
Ibn Mubarak berkata, “Aku pun menundukkan untaku.”
Dia berkata, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).” (An-Nur : 30)
Ibn Mubarak terasa ditegur oleh perempuan tua itu, lalu mengalihkan pandangannya daripadanya. Walau bagaimanapun, ketika dia hendak naik, unta itu tiba-tiba bangun lalu lari. Baju perempuan itu sedikit koyak.
Perempuan tua itu berkata, “Nabi Musa menjawab: “Adalah (engkau akan memenjarakan daku juga) walaupun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?” (Asy-Syu’ara’ : 30)
Ibn Mubarak berkata, “Bersabarlah. Semoga aku dapat menjinakkan unta ini dan mengikatnya.”
Dia menjawab, “Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hokum yang lebih tepat bagi masalah itu.” (Al-Anbiya’ : 79)
Ibn Mubarak akhirnya Berjaya menjinakkan dan mengikat unta tersebut.
Ibn Mubarak berkata, “Sekarang, dipersilakan naik.”
Perempuan itu naik sambil berkata, “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.” (Az-Zukhruf : 13-14)
Ibn Mubarak memegang tali untanya dan memacu untanya dengan laju sambil bersuara agak kuat.
Perempuan tua itu menegurnya, “Dan bersederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman : 19)
Ibn Mubarak lalu memperlahankan untanya sambil membaca beberapa bait syair.
Perempuan itu berkata, “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran.” (Al-Muzzammil : 20)
Ibn Mubarak berkata kepadanya, “Engkau telah member kebaikan yang sangat banyak.”
Dia menjawab, “Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunankan akal fikirannya.” (Al-Baqarah : 269)
Ibn Mubarak bertanya, “Apakah kamu mempunyai suami?”
Dia menjawab, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.” (Al-Ma’idah : 101)
Ibn Mubarak terdiam. Dia tidak mengajaknya bercakap lagi, sehinggalah mereka berdua terlihat satu rombongan di hadapan. Mereka pun mengekorinya.
Ibn Mubarak bertanya, “Itukah rombonganmu? Siapakah saudara kamu di dalam rombongan itu?”
Dia menjawab, “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.” (Al-Kahfi : 46)
Ibn Mubarak memahami bahawa perempuan tua itu mempunyai anak-anak.
Ibn Mubarak bertanya, “Bagaimana keadaan anak-anakmu ketika waktu ibadah haji?”
Dia menjawab “Dan mengadakan tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.” (An-Nahl : 16)
Ibn Mubarak memahami bahawa mereka menjadi petunjuk dengan melihat kubah-kubah, bangunan-bangunan dan bintang-bintang di langit.
Ibn Mubarak bertanya lagi, “Siapakah yang berada di sana?”
Dia menjawab, “Dan Allah menjadikan Ibrahim kesayangan-Nya” (An-Nisa’ : 125)
“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).” (An-Nisa’ : 164)
“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan sesungguh-sungguhnya!” (Maryam : 12)
Ibn Mubarak memanggil ketiga-tiga nama tersebut, “Wahai Ibrahim, wahai Musa, wahai Yahya.” Ketiga-tiga pemuda yang nama mereka dipanggil lalu dating. Mereka semuanya adalah anak kepada perempuan tersebut.
Perempuan itu berkata, “Sekarang utuslah salah seorang daripada kamu, membawa wang perak kamu ini ke Bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya.” (Al-Kahfi : 19)
Kemudian, salah seorang daripada mereka pergi. Selepas itu dia dating semula dengan membawa makan untuk Ibn Mubarak.
Perempuan itu mempersilakannya untuk makan sambil berkata, “(Dan dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah dengan enak sebagai balasan dari apa yang telah kamu kerjakan (di dunia)!” (Ath-Thur :19)
Selepas makan, Ibn Mubarak memandang ketiga-tiga wajah pemuda tadi dan ingin bertanyakan sesuatu.
Ibn Mubarak bertanya, “Aku ingin tahu tentang ibu kamu ini.”
Mereka menjawab bahawa sejak 40 tahun yang lalu, dia tidak berbicara selain dengan ayat-ayat al-Quran kerana bimbang salah dalam percakapannya.
Ibn Mubarak berkata, “Yang demikian itu adalah impah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Al-Ma’idah : 54)

SUBHANALLAH.....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.