Saturday, September 1, 2012

۝ MALAIKAT MENYERUPAINYA MENGERJAKAN HAJI ۝


Kisah 26


Diriwayatkan bahawa ketika Abdullah bin al-Mubarak memasuki Kufah dalam perjalanannya mengerjakan haji, dia melihat seorang perempuan sedang memungut bangkai seekor itik dari tempat pembuangan sampah.
Abdullah berhenti di hadapannya dan bertanya, "Apakah itu bangkai atau sembelihan?"
Dia menjawab, "Ini adalah bangkai. Untukku dan keluargaku."
Abdullah berkata, "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan bangkai, kenapa kamu masih mahu memakannya?"
Perempuan itu menjawab, "Pergilah kamu daripadaku. Ketahuilah bahawa aku mempunyai ramai anak dan mereka sudah tidak makan sejak tiga hari lalu."



Abdullah berasa kasihan mendengar jawapannya, lalu pergi meninggalkan perempuan tersebut. Selepas itu dia datang semula dengan seekor keldai yang sarat dengan makanan.
Dia mencari perempuan tersebut. Selepas berjumpa rumahnya. Abdullah segera memukul keldai tersebut dan berkata kepada perempuan tersebut, "Itu semua nafkah untuk kamu."
Peristiwa tersebut menyebabkan Abdullah terlepas dari mengerjakan haji. Dia lalu pulang ke rumah kampung halamannya. Ketika sampai di kampung, orang kampung masing-masing mengucapkan selamat kembali daripada menunaikan haji.
Abdullah berkata, "Sesungguhnya tahun ini aku belum menunaikan haji."
"Bukankah kamu yang aku suruh menjaga barangku dan aku mengambilnya kembali daripadamu ketika di Arafah?" Tanya orang kampungnya.
Seorang yang lain bertanya pula, "Bukankah kamu yang memberikan aku air ketika di Tanah Suci?"
Seorang yang lain pula bertanya, "Bukankah kamu yang telah membelikan sesuatu untukku?"
Abdullah menjawab, "Aku tidak faham apa yang kamu katakan. Aku memang belum mengerjakan haji pada tahun ini."

Pada malamnya, ketika tidur, Abdullah bermimpi dan mendengar suara berkata kepadanya: "Wahai Abdullah, sesungguhnya Allah telah menerima sedekahmu. Dia telah mengutuskan satu malaikat yang menyerupaimu dan mewakilimu untuk mengerjakan haji."

[Abu Abd ar-Rahman Abdullah bin al-Mubarak al-Hanzhali lahir pada tahun 118H (736M). Seorang ahli hadis terkemuka dan seorang yang zuhud. Seorang saudagar kaya yang banyak memberi bantuan kepada orang miskin. Meninggal pada tahun 181H di Kota Hit, yang terletak di tepi sungai Euphrates.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.