Saturday, September 1, 2012

۝ NILAI IKHLAS DAN SIDDIQ (BENAR) DALAM MENYAMPAIKAN ILMU ۝


Kisah 43


Ketika berceramah Sheikh Abdul Qadir al-Jailani akan menggunakan bahasa yang sangat sederhana. Walaupun begitu, ramai orang yang akan menangis mendengar ceramahnya.

Suatu ketika, anaknya yang telah banyak menuntut ilmu dan suka berceramah berkata di dalam hatinya, "Jika aku diizinkan berceramah, tentu lebih ramai orang yang akan menangis."
Suatu hari, Sheikh Abdul Qadir ingin mendidik anaknya itu. Dia berkata, "Wahai anakku, berdirilah dan berikan ceramah."



Anaknya taat kepada perintah ayahnya, lalu berdiri dan menyampaikan ceramah dengan bagus sekali. Akan tetapi, tidak ada seorang pun yang menangis dan berasa khusyuk, bahkan ada yang merasa bosan dengan ceramahnya.

Selesai anaknya berceramah, Sheikh Abdul Qadir naik ke atas mimbar dan berkata, "Para hadirin, malam tadi isteriku, ummul fuqara', menghidangkan ayam panggang yang sangat menyelerakan. Tiba-tiba seekor kucing datang dan memakannya."
Mendengar ucapan ini, para hadirin menangis teresak-esak.

Anak Sheikh Abdul Qadir merasa kehairanan. Di dalam hatinya dia berkata, "Pelik sekali, aku telah membacakan kepada mereka ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi, syair dan pelbagai cerita, tetapi tidak ada seorang pun yang menangis. Tetapi ketika ayahku menyampaikan ucapan yang sangat sederhana, mereka menangis pula. Sangat pelik, apakah sebabnya?"

Mereka menangis kerana menganggap kucing yang telah disebutkan oleh Sheikh Abdul Qadir al-Jailani sebagai syaitan yang mengganggu amalan seseorang dengan cara menimbulkan riak, ujub dan sombong. Ada juga yang menafsirkan cerita itu sebagai seseorang yang banyak amalannya, tetapi akhirnya mati dalam keadaan su'ul khotimah (pengakhiran yang tidak baik).

[Sheikh Abdul Qadir Jailani seorang wali Allah di Baghdad yang lahir pada tahun 490/471H di Kota Jailan. Dia seorang Imam bermazhab Hanbali. Menjadi guru besar mazhab ini pada masa hidupnya. Antara muridnya termasuklah al-Hafiz Abdul Ghani (penyusun Umdah al-Ahkam), Ibn Qudamah dan lain-lain. Meninggal pada tahun 561H.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.