Saturday, September 1, 2012

۝ KEMULIAAN IMAM GHAZZALI ۝


Kisah 42


Sheikh Daud al-Fathoni, di dalam muqaddimah kitabna 'Minhaj al-Abidin' menulis: "Diriwayatkan daripada al-Imam al-Arif Ibn al-Mula daripada al-Imam al-Arif Yaqut al-Qurasyi daripada Quthb al-Arif al-Fard al-Jami' Abi al-Abbas al-Mursi daripada Syarif al-Hasani sheikhnya iaitu Quthb al-Fard Ghauth asy-Syarif abi al-Hasan Ali asy-Syazili daripada Imam al-Alim al-Kabir Ibn Harazim (masyhur dengan Ibn Harazim), bahawasanya dia (Ibn Harazim) memberitahu bahawa ada seorang sheikh yang mempunyai tanggapan yang tidak baik terhadap Imam Ghazzali dan mencela perkataannya di dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin. Malah, Sheikh ini bercita-cita untuk membakar kitab Ihya' Ulumuddin ini.



Suatu malam dia bermimpi bersama Imam Ghazzali menghadap Rasulullah s.a.w. Ketika itu Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar turut bersama Rasulullah, Imam Ghazzali berkata, "Wahai Rasulullah, orang ini mendakwa apa yang aku tulis di dalam kitab Ihya Ulumuddin menyalahi apa yang Tuan katakan. Maka jika benar dakwaannya, aku bertaubat daripada apa yang aku tulis. Jika ia seperti yang datang daripadamu, maka dapatlah aku keberkatan daripadamu dan adililah orang ini."

Kemudiannya Imam Ghazzali melutut dan memberikan kitab Ihya' Ulumuddin kepada Rasulullah. Rasulullah membelek muka suratnya sehelai demi sehelai sehingga selesai kitab lalu berkata, "Demi Allah, kitab ini adalah sesuatu yang sangat bagus."
Kemudian Baginda menyuruh Abu Bakar melihatnya. ABu Bakar juga membelek muka suratnya sehelai demi sehelai sehingga selesai kitab lalu berkata, "Memang benar. Demi Tuhan yang telah membangkitkan Tuan sebagai Nabi yang benar wahai Rasulullah, sesungguhnya ia sangat bagus."
Kemudian kitab itu diserahkan keapda Umar. Umar membelek muka suratnya sehelai demi sehelai sehingga selesai kitab lalu berkata seperti yang dikatakan Abu Bakar.

Rasulullah kemudiannya memerintahkan sheikh yang membuat dakwaan dan tuduhan tadi membuka pakaiannya untuk dikenakan hukuman menuduh. Dia pun menanggalkan pakaiannya lalu dipukul.
Akhirnya Abu Bakar meminta agar dia dimaafkan.
Dia diampunkan selepas mendapat lima pukulan dengan cemeti.
Abu Bakar mengatakan, "Wahai Rasulullah, dia berusaha menjaga sunnah Tuan dan berniat untuk membesarkan sunnah Tuan itu."
Imam Ghazzali akhirnya memaafkannya.
Ketika sheikh tadi terjaga daripada mimpinya, dia memberitahu kepada anak-anak muridnya mengenai apa yang dilihatnya di dalam mimpi.

Selepas itu, dia sakit selama 25 hari. Dia kemudiannya bermimpi berjumpa Rasulullah lagi. Kali ini Rasulullah menyapu tangan Baginda yang penuh mulia dan berkat ke badannya yang sakit lalu hilanglah sakit itu. Dia bertaubat daripada kesalahan berburuk sangka kepada Imam Ghazzali dan kitabnya Ihya' Ulumuddin. Sheikh Abu al-Hasan asy-Syazili berkata, "Sheikh itu pun meninggal dunia dan orang melihat ada bekas cemeti (pukulan) dibadannya."

[Nama sebenar Imam Ghazzali ialah Hujjah as-Islam, Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali. Seorang ilmuwan besar Islam dan wali Allah yang besar. Mujaddid untuk kurunnya. Menjadi rujukan kepada para sufi selepasnya kerana dianggap ilmuwan Islam yang mengusai Ilmu Hakikat dan Ilmu Syariat. Meninggal pada tahun 505H]

[Nama sebenar Sheikh Daud al-Fathoni ialah Sheikh Wan Daud bin Sheikh Wan Abdullah bin Syaikh Wan Idris. Belajar di Makkah selama 30 tahun dan 5 tahun di Madinah. Sempat berguru dengan Imam Syarqawi (1227H), seorang ulama besar Mazhab Imam Syafi'i. Antara ulama yang paling banyak menulis kitab dalam dunia Melayu. Meninggal dan dimakamkan di Thoif, sebelah kubur Sayidina Ibn Abbas. Ada yang menyebutkan tarikh wafatnya pada 1265H/1847M.]

[Ibn al-Mulaiq asy-Syazili, Abu al-Ma'ali Nashiruddin Muhammad bin Abdul Da'im. Antara kitab tulisannya ialah al-Anwar al-La'ihah fi Asrar al-Fatihah. Meninggal pada tahun 686H.]

[Al-Imam Syihabuddin Abu al-Abbas, Ahmad bin Umar al-Anshari al-Mursi. Salah seorang wali Allah yang masyhur. Meninggal pada tahun 686H.]

[Abu al-Hasan Ali bin Abdullah bin Abdul Jabbar asy-Syazili al-Maghribi al-Hasani. Seorang wali Allah yang masyhur dan pendiri Tariqah Syaziliyyah. Meninggal pada tahun 656H di Mesir.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.