Saturday, September 1, 2012

۝ KARAMAH ABU MUSLIM AL-KHULANI ۝


Kisah 19


Kisah ini diriwayatkan oleh Sheikh Abu al-Baqa' al-Hafiz daripada Atho: Isteri Abu Muslim al-Khulani berkata, "Wahai Abu Muslim, rumah kita sudah kehabisan gandum hari ini."
Abu Muslim al-Khulani bertanya, "Apa yang masih ada padamu?"
Isterinya menjawab, "Hanya ada satu dirham hasil kain tenunan yang aku jual."
Abu Muslim al-Khulani berkata, "Berikan dirham itu kepadaku berserta bekas gandum."
Dia terus pergi ke pekan dan berhenti di sebuah kedai yang menjual makanan. Ketika itu ada seorang peminta sedekah berkata kepadanya, "Wahai Abu Muslim, berilah sesuatu kepadaku."

Abu Muslim cuba mengelak daripadanya dan pergi ke kedai yang lain. Peminta sedekah itu datang lagi dan meminta sesuatu daripadanya. Kali ini dia cuba mendesak. Abu Muslim memberikan satu dirham yang ada padanya. Dia sedikit risau memikirkan apa yang akan dibawa balik ke rumah nanti.
Tidak jauh dari tempat itu, ada tempat longgokan kayu. Abu Muslim al-Khulani pergi ke situ dan memasukkan beberapa potongan kayu ke dalam bekas gandum dengan dicampurkan sedikit tanah. Dia terus balik ke rumah. Hati terasa sedikit takut jika isterinya bertanyakan tentang gandum nanti.
Apabila sampai di rumah dan isterinya membuka pintu, Abu Muslim terus meletakkan bekas gandum tadi di tepi pintu, lalu meninggalkan rumahnya.
Isterinya tidak memikirkan apa-apa. Apabila isterinya membuka bekas gandum, dia mendapati ia penuh dengan gandum Hawari (sejenis tepung yang baik). Kemudian, dia terus membuat roti sambil menunggu kepulangan suaminya.
Apabila hari sudah larut malam, Abu Muslim al-Khulani balik ke rumah. Selepas dibuka pintu dan duduk, isterinya membawa kepadanya satu hidangan yang terdiri daripada tepung Hawari.
Abu Muslim hairan dan bertanya, "Dari mana kamu dapat roti ini?"
Isterinya menjawab, "Daripada tepung yang engkau bawa siang tadi."
Abu Muslim al-Khulani pun makan hidangan tersebut sambil menangis tersedu-sedu.

[Atho' bin Rabbah seorang Tabi'in. Ahli fatwa dan ahli hadis. Meninggal pada 114H dalam berusia 47 tahun.]

[Nama asal Abu Muslim Al-Khulani ialah Abdullah bin Thawab, berasal dari Yaman dan tinggal di Syam. Tabi'in yang zuhud, soleh dan kuat beribadah. Memiliki karamah-karamah yang zahir dan ahwal yang tinggi.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.