Saturday, September 1, 2012

۝ BURUNG YANG PATAH SAYAPNYA ۝


Kisah 20


Suatu ketika Ibrahim bin Adham bertemu dengan al-Balkhi di Makkah. Dalam kesempatan tersebut Ibrahim bertanya kepada Syaqiq, "Peristiwa apakah yang membuatmu mencapai kedudukan seperti ini?"
Syaqiq al-Balkhi menjawab, "Suatu hari di padang pasir, aku melihat seekor burung bergerak-gerak di atas tanah, tidak berdaya kerana kedua-dua sayapnya patah."
"Dalam hatiku bertanya, "Siapakah yang memberi makan burung ini sehingga ia masih mampu bertahan dan hidup di tengah padang pasir yang gersang ini?"
"Ketika aku duduk memperhatikan burung itu, tiba-tiba terlihat seekor burung terbang ke arahnya dengan membawa seekor belalang di paruhnya."
"Ketika itu aku juga berkata kepada diriku, "Wahai diri, Ketahuilah, Dia (Allah) yang mengirimkan burung ini ke tengah padang pasir hanya untuk memberi makanan kepada burung yang patah sayapnya tadi, Maha Kuasa untuk memberimu rezeki di manapun engkau berada."
"Sejak itulah aku membuat keputusan untuk tidak bekerja lagi. Aku sibukkan diriku dengan pelbagai ibadah," Jawab Syaqiq.
Mendengar perkataan Syaqiq, Ibrahim berkata kepadanya, "Apakah engkau belum pernah mendengar Rasulullah bersabda: "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)?
"Seorang mukmin dalam segala urusannya, ketika dihadapkan dengan dua pilihan, maka dia akan memilih kedudukan yang tertinggi daripada keduanya, sehingga ia dapat mencapai darjat kaum Abrar (yang membuat kebaikan)."
Mendengar ucapan Ibrahim bin Adham, Syaqiq pun segera memegang telapak tangan Ibrahim bin Adham lalu menciumnya dan berkata, "Engkau adalah guruku."

[Abu Ali Syaqiq bin Ibrahim al-Balkhi meninggal pada tahun 149H (810M). Termasuk guru besar sufi dari Khurasan. Guru kepada Hatim al-Asham.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.