Saturday, September 1, 2012

۝ BERFIKIR SEBELUM MEMBUAT MAKSIAT ۝


Kisah 21


Seorang lelaki datang berjumpa Ibrahim bin Adham dan berkata, "Wahai Abu Ishaq, aku selalu melakukan maksiat. Katakanlah sesuatu kepadaku sebagai nasihat yang boleh membantuku untuk tidak melakukan maksiat lagi."
Ibrahim berkata, "Jika kamu menerima lima perkara dan kamu mampu melakukannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mengalahkanmu."
Dia berkata, "Katakanlah wahai Abu Ishaq."
Ibrahim berkata, "Pertama, Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada Allah, maka janganlah kamu makan rezeki-Nya."
Lelaki itu bertanya, "Dari manakah aku akan memperolehi makanan sedangkan semua yang ada di bumi ini adalah rezeki-Nya."

Ibrahim bertanya kepadanya, "Wahai saudara, apakah patut kamu makan rezeki-Nya dan pada masa yang sama kamu berbuat maksiat kepada-Nya?"
Lelaki itu menjawab, "Tidak, katakanlah yang kedua."
Ibrahim berkata, "Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada-Nya, maka janganlah kamu tinggal di bumi-Nya."
Lelaki itu menjawab, "Ini lebih besar. Di mana lagi aku akan tinggal?"
Ibrahim berkata kepadanya, "Wahai saudara, apakah patut kamu berbuat maksiat kepada-Nya sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya?"
Lelaki itu menjawab, "Tidak, katakanlah yang ketiga."
Ibrahim berkata, "Jika kamu hendak berbuat maksiat kepada-Nya, kamu carilah tempat di mana Dia tidak melihatmu. Di situlah kamu boleh melakukan maksiat."
Lelaki itu menjawab, "Wahai Ibrahim, apakah ini? Tidak mungkin, Dia mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi."
Ibrahim bertanya, "Wahai saudara, apakah patut kamu makan rezeki-Nya dan pada masa yang sama kamu berbuat maksiat kepada-Nya, sedangkan Dia melihatmu, mengetahui apa yang kamu zahirkan dan yang kamu rahsiakan?"
Lelaki itu menawab, "Tidak, katakanlah yang keempat."
Ibrahim berkata, "Jika Malaikat Maut datang kepadamu mahu mencabut nyawamu, maka katakanlah kepadanya, 'Tunggu sebentar, aku mahu benar-benar bertaubat dan beramal kerana Allah."
Lelaki itu menjawab, "Dia tidak akan menerimanya."
Ibrahim bertanya, "Wahai saudara, jika kamu tidak berkuasa menolak Malaikat Maut supaya kamu boleh bertaubat, dan kamu mengetahui bahawa jika dia datang kepadamu, dia tidak akan memberi kesempatan kepadamu, lalu bagaimanakah kamu boleh selamat?"
Lelaki itu berkata, "Katakanlah yang kelima."
Ibrahim berkata, "Jika Malaikat Zabaniyah datang kepadamu pada hari kiamat untuk mengheretmu ke neraka, maka janganlah kamu ikut."
Lelaki itu berkata, "Mereka tidak akan membiarkan aku dan tidak akan menerimaku."
Ibrahim berkata, "Bagaimana kamu berharap untuk selamat?"
Lelaki itu berkata, "Wahai Ibrahim, cukuplah. Aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah."
Akhirnya, dia benar-benar memenuhi janjinya untuk bertaubat dan menjadi rajin beribadah serta menjauhi maksiat sehingga dipanggil Allah menemui-Nya.

[Abu Ishaq Ibrahim bin Adham, asalnya seorang putera raja kemudian menjalani kehidupan sufi. Beliau seorang ahli sufi yang masyhur dengan zuhud dan ibadahnya. Semasa di Makkah, tinggal bersama Sufyan ats-Thuri dan Fudhail bin Iyadh. Meninggal pada tahun 165H.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.