Sunday, May 8, 2011

Dalam Mengerjakan Amalan

Bila kita melakukan ibadat,  tidak kira apapun ibadat yang kita kerjakan, haruslah dikerjakan dengan bersungguh-sungguh... Disamping kita bersungguh-sungguh dalam menyerjakan amalan, kita juga perlu mengikhlaskan diri apabila melakukan amalan.

Kini, dapat kita lihat kebanyakkan daripada orang kita tidak menghulurkan bantuan secara ikhlas, membantu kerja-kerja amal dengan tidak bersungguh-sungguh. Akibatnya kerja yang kita lakukan itu tidak berkualiti dan tidak mendapat pahala dari Allah SWT...

Jadi apa pentingnya bersungguh-sungguh dan ikhlas dan sebagainya dalam mengerjakan amalan?
Mari kita lihat dari konteks logik, bila kita melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas, jujur, amanah, bersungguh-sungguh dan lain-lain. Tidakkah kita sedar hubungan kita dengan orang sekeliling bertambah erat,  dan disitu terjalin silaturahim.

Daripada Anas r.a daripada Nabi s.a.w meriwayatkan apa yang diterangkan dalam hadis qudsi, “jika seorang hamba menghampiriku sejengkal, maka aku menghampirinya sehasta, jika ianya hampir kepadaku sehasta maka aku menghampirinya sedepa dan jika ia datang kepadaku dengan berjalan maka aku datang kepadanya dengan berlari”.
 
Riwayat al-Bukhari
Kita digalakkan untuk mencari keredaan Allah, bukti galakan itu ialah dengan melipatgandakan ganjaran. Kita juga hendaklah segera berjuang ke jalan Allah supaya Allah lebih cepat lagi memberi balasan yang berlipat ganda kepadanya. Bila kita bersungguh-sungguh, maka Allah lebih bersungguh-sungguh untuk menolong kita, dan bila kita ikhlas, maka Allah kasih pada orang yang ikhlas mengerjakan Amalannya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.”
 
Riwayat Bukhari
 
Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya.Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T.
Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya’, ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”
 
Riwayat Muslim

Dan amanah itu juga penting dalam melakukan sesuatu pekerjaan, bila sekali kita pecah amanah, maka susahlah bagi orang lain untuk memberi pengharapan terhadap kita. Amanah itu berat, tetapi ia menjadi mulia sekiranya kita pandai menggunakannya. Sedangkan amanah itu ada pada setiap dari kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.
 
Riwayat Muslim

Memang tidak seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT memiliki sifat sombong di hadapan Allah SWT kerana kita adalah ciptaan-Nya.Apatah lagi dalam mengerjakan amalan. 
Sungguh tidak ada apa-apa kehebatan pun pada kita jika hendak dibandingkan dengan kebesaran Allah SWT. Cukuplah seseorang itu dikatakan sombong jika menolak kebenaran dan suka merendahkan orang lain. Cerita tentang kesombongan, takbur, selalu membanggakan diri adalah sebuah kisah yang lebih tua jika dibandingkan dengan permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia berlaku ketika Iblis enggan bersujud pada makhluk bernama Adam disebabkan rasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firman-Nya: "Hai Iblis, apakah yang menghalang mu untuk bersujud kepada yang telah Ku ciptakan. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?" Iblis terus menjawab: “Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah. Mendengar jawapan Iblis yang sombong, Allah berfirman. "Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir".

Maka dengan itu kita tidak boleh menyombong diri, menunjuk-nunjuk amalan yang dikerjakan. Maka disitu sudah tiada keikhlasan diri. Keutamaan kita menjaga hati kerana hati kita ini rapuh senang digoda. Jadi bersihkan hati kita dengan keikhlasan, sesungguhnya Syaitan tidak mengganggu orang yang ikhlas melakukan amalan.
Dan Allah tidak akan memandang orang yang sombong di akhirat kelak. Maka takutlah dengan azab keras neraka.

Wallu'alam...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.