Saturday, September 1, 2012

۝ PENDUDUK BAGHDAD MENGUJI IMAM BUKHARI ۝


Kisah 36


Ketika para ahli hadis mendengar khabar Imam Bukhari akan datang ke Baghdad, mereka berhasrat menguji kedalaman ilmu Imam Bukhari dalam ilmu hadis dan periwayatannya. Mereka mencampurkan perawi-perawi hadis dan matan-matan hadis yang disandarkan kepada perawi yang bukan sebenarnya. Tugas ini diberikan kepada sepuluh orang. setiap seorang bersedia dengan sepuluh hadis yang sudah dicampuradukkan perawi dan matannya.

Mereka pun datang menghadiri majlis Imam Bukhari yang juga dihadiri oleh para ahli hadis dari luar Baghdad yang dijemput.



Apabila majlis bermula, salah seorang daripada ahli hadis Baghdad mula bertanya sebuah hadis kepada Imam Bukhari. Ketika ditanya tentangnya, Imam Bukhari menjawab, "Tidak tahu."
Hadis yang kedua ditanya dan jawapan Imam Bukhari ialah, "Tidak tahu."
Begitulah hadis ketiga sehingga selesai pertanyaan tentang sepuluh hadis, dan jawapan Imam Bukhari masih sama, "Tidak tahu."

Para hadirin terdiri daripada ahli-ahli hadis menjadi bingung. Sebahagian daripada mereka mengatakan Imam Bukhari masih belum menguasai ilmu hadis dan periwayatannya kerana menjawab "tidak tahu"
ketika ditanya. Sebahagian lainnya pula, masih mengakui kehebatannya dalam ilmu ini.

Kemudian orang kedua yang juga ahli hadis pula bertanya satu hadis ke satu hadis sehingga hadis kesepuluh yang ada padanya. Namun, jawapan Imam Bukhari tetap sama, "Tidak tahu."

Begitulah yang berlaku seterusnya sehingga sepuluh orang dan hadis yang ditanya semuanya berjumlah 100 buah hadis. Jawapan Imam Bukhari masih lagi, "Tidak tahu."

Kemudian, Imam Bukhari menoleh ke arah orang pertama yang bertanya lalu berkata, "Hadis kamu yang pertama sepatutnya begini, hadis kedua begini, ketiga sehinggalah hadis kesepuluh begini."
Sambil dia menyusun kembali matan dan sanad hadis-hadis tersebut mengikut susunan yang sebenarnya.

Begitulah Imam Bukhari membetulkan semua hadis yang ditanyakan oleh sembilan orang lagi. Semua hadis dibetulkan sesuai dengan matan dan sanadnya, tanpa ada satu matan atau sanad pun yang tertinggal.

Melihat keadaan yang sangat mengkagumkan itu, semua yang hadis termasuk ahli-ahli hadis Baghdad yang sengaja mahu menguji kehebatan ilmu Imam Bukhari, mengakui kedalaman ilmunya dalam bidang hadis.

[Nama sebenar Imam Bukhari ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim, dipanggil 'Abu Abdullah'. Mula menghafaz hadis ketika belum berumur 10 tahun. Penulis kitab al-Jami' as-Sahih iaitu kitab hadis paling sahih sesudah al-Quran, yang dikumpulnya selama 16 tahun. Meninggal pada tahun 256H di Samarkand.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.