Saturday, September 1, 2012

۝ LARI DARI NERAKA ۝


Kisah 13


Tsa’labah bin Abdur Rahman, beliau adalah seorang pemuda daripada kaum Ansar yang berusia 16 tahun dan pembantu Nabi s.a.w. Dia seorang yang cepat menyiapkan sesuatu tugas apabila ditugaskan oleh Nabi s.a.w.

Pada suatu hari ketika Rasulullah menyuruhnya membuat suatu urusan, dia melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Disebabkan ingin tahu apa yang berlaku dan apa yang ada di dalamnya, dia terus masuk. Dia melihat cahaya dari pintu bilik mandi dan terlihat seorang wanita sedang mandi. Dengan segera dia mengalihkan pandangannya.
Dia mula rasa bersalah dengan tindakannya itu dan merenung sendirian, “Patutkah aku yang sangat dekat dengan Rasulullah s.a.w., yang melakukan suruhannya, tetapi tidak menghormati rahsia orang lain?”
Dia mula ketakutan sekiranya turun wahyu kepada Nabi s.a.w. menceritakan apa yang telah dilakukannya. Dia mengambil keputusan tidak pulang ke rumah berjumpa Rasulullah, sebaliknya bersembunyi di dalam gunung antara Makkah dan Madinah. Dia bersembunyi di situ selama hamper 40 malam.
Jibril a.s. turun kepada Rasulullah dan berkata, “Wahai Muhammad, Tuhanmu memberikan salam dan berfirman: “Sesungguhnya seorang lelaki daripada umatmu bersembunyi dalam sebuah gua di gunung kerana berlindung kepada-Ku.”



Nabi s.a.w. terus berkata kepada Sayidina Umar dan Sayidina Salman al-Faris, “Pergilah kamu berdua dan bawakan Tsa’labah. Dialah satu-satunya orang yang dimaksudkan.”
Mereka berdua berangkat. Di pertengahan jalan, Mereka bertemu dengan seorang penggembala dari Madinah bernama Zafafah.
Umar bertanya, “Adakah kamu tahu seorang pemuda bersembunyi di gunung itu bernama Tsa’labah?”
Dia menjawab, “Mungkin yang kamu maksudkan ialah pemuda yang lari dari Neraka Jahannam?”
Umar bertanya, “Dari mana kamu tahu dia lari dari Neraka Jahannam?”
Zazafah menjawab, ‘Bila malam tiba, dia keluar kepada kami dari gunung itu dan meletakkan tangan di atas kepalanya sambil merintih, “Alangkah baiknya jika Engkau mengambil jasadku di antara jasad-jasad yang lain serta tidak menghidupkan aku untuk menghadapi Hari Perhitungan.’”
Ini adalah suatu tanda penyesalan yang bersangatan yang lahir dari lubuk hati.
Umar berkata, “Dialah yang kami cari.”
Penggembala tersebut menghantar Umar dan Salman menemuinya. Ketika melihat Sayidina Umar, Tsa’labah berlari kepadanya dan memeluknya sambil berkata, “Wahai Umar, apakah Rasulullah tahu akan dosaku?”
Umar menjawab, “Aku tidak tahu. Tetapi Baginda ada menyebut namamu semalam. Baginda mengutuskan aku dan Salman mencarimu.”
Dia berkata, “Wahai Umar, jangan bawa aku kepada Rasulullah kecuali ketika waktu solat.”
Umar dan Salman segera kembali untuk mendapatkan saf pertama. Selepas solat, Nabi s.a.w. bertanya, “Wahai Umar, wahai Salman, mana Tsa’labah?”
Umar menjawab, “Ini dia, wahai Rasulullah.”
Rasulullah bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu menghilangkan diri daripada kami wahai Tsa’labah?”
Tsa’labah menjawab, “Dosaku wahai Rasulullah.”
Nabi s.a.w. bertanya, “Apakah kamu bersedia untuk aku tunjukkan satu ayat yang menghapuskan dosa dan kesalahan?”
Dia menjawab, “Sedia wahai Rasulullah.”
Nabi s.a.w. berkata, “Ucapkanlah: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari azab neraka.” (Al-Baqarah 2:201)
Tsa’labah berkata, “Dosaku lebih besar wahai Rasulullah.”
Nabi s.a.w. berkata, “Tidak, Kalamullah lebih besar.”
Nabi s.a.w. menyuruhnya pulang ke rumah.

Selepas lapan hari, Salman dating kepada Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, tengoklah Tsa’labah. Dia menderita kerana apa yang telah dibuatnya.”
Rasulullah terus berkata, “Kita ke sana sekarang.”
Rasulullah menziarahinya dan meletakkan kepala Tsa’labah di atas riba Baginda yang mulia. Tsa’labah segera menarik kepalanya dari riba Rasulullah.
Rasulullah bertanya, “Kenapa kamu menarik kepalamu dari pangkuanku?”
Tsa’labah menjawab, “Kerana ia penuh dengan dosa.”
Rasulullah bertanya lagi, “Apa yang kamu Rasakan?”
Dia menjawab, “Seperti semut kecil di antara tulang dagingku dan kulitku.”
Rasulullah bertanya, “Apakah yang kamu harapkan?”
Dia menjawab, “Keampunan Tuhanku.”
Jibril a.s. turun dan berkata, “Wahai Muhammad, Tuhanmu mengucapkan salam kepadamu danberfirman: “Sekiranya hamba-Ku ini kembali kepada-Ku dengan membawa kesalahan yang memenuhi bumi, nescaya Aku akan membalasnya dengan keampunan yang memenuhi bumi pula.”
Nabi s.a.w. memberitahu berita gembira itu kepada Tsa’labah. Dia berteriak dan terus meninggal dunia.
Nabi s.a.w. memerintahkan jasad Tsa’labah dimandikan dan dikafan. Sesudah Rasulullah s.a.w. melakukan solat jenazah dan ingin menuju ke kubur, Baginda berjalan ke kubur sambil berjinjit.

Selepas disemadikan, Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, kami melihat Tuan berjalan berjinjit.”
Baginda menjawab, “Demi Zat yang mengutuskan aku dengan kebenaran, aku tidak mampu meletakkan kakiku ke tanah kerana ramainya para malaikat yang turun untuk menyambut jenazahnya.”

[Abu Abdullah Salman al-Farsi, berasal dari Asfahan, Farsi. Banyak bergaul dnega Baginda. Pernah mencadangkan agar membina parit sekitar Madinah ketika Peperangan Khandaq pada tahun ke 5H. Meninggal pada tahun 50H. Rasulullah pernah berkata, “Salman al-Farsi adalah keluarga kami.”]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.