Saturday, September 1, 2012

۝ KETINGGIAN ADAB PENUNTUT ILMU ۝


Kisah 10


Pertama:
Sayidina Ibn Abbas adalah seorang sahabat terkemuka yang dipanggil Habr al-Ummah kerana keluasan ilmu kefahamannya. Walaupun dia adalah keluarga Rasulullah s.a.w. yang dimuliakan dan diagungkan, dia membiarkan (gurunya) Sayidina Zaid bin Tsabit menaiki tunggangan walaupun dia sendiri berjalan di belakang tunggangan itu:
Ibn Abbas berkata, “Beginilah kami disuruh untuk membuat perkara ini kepada para ulama kami.”
Apabila sudah sampai tempat yang dituju dan gurunya itu turun daripada tunggangannya, Sayidina Zaid pun mencium tangan Ibn Abbas, Ibn Abbas merasa kurang selesa kerana Sayidina Zaid adalah gurunya, tetapi Sayidina Zaid berkata, “Beginilah kami disuruh untuk membuat perkara ini kepada ahli keluarga Nabi kami.”

Kedua:
Di dalam Manaqib al-Imam Abu Hanifah, karangan al-Muwaffaq al-Khuwarizmi, diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah bahawasanya dia berkata, “Tidak pernah aku melunjurkan kakiku menghadap rumah guruku Hammad kerana menghormatinya. Di antara rumahku dan rumahnya sejauh tujuh sikkah.
“Tidaklah pernah aku solat walau satu waktu sekalipun sejak meninggalnya Hammad melainkan aku memohon keampunan baginya bersama kedua-dua orang tuaku. Sesungguhnya aku memohon keampunan bagi orang yang aku pernah belajar dengannya atau yang pernah mengajarku satu ilmu.”

Ketiga:
Imam Abu Yusuf, murid Imam Abu Hanifah berkata, “Sesungguhnya aku berdoa untuk Abu Hanifah sebelum (aku berdoa untuk) kedua orang tuaku. Sesungguhnya aku pernah mendengar Abu Hanifah berkata: Sesungguhnya aku berdoa untuk Hammad (gurunya) bersama (doa untuk) kedua orang tuaku.”
Keempat:
Imam Syafi’i berkata, “Aku menyelak helaian kerta di hadapan Imam Malik dengan perlahan-lahan agar dia tidak mendengar bunyi selakan itu.”


Kelima:
Imam ar-Rabi’, Murid Imam Syafi’i, berkata, “Demi Allah, aku tidak berani mencuba untuk minum air jika Imam Syafi’i melihatku.”

Keenam:
Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Tidak pernah aku tiduk malam sejak 30 tahun melainkan aku berdoa untuk Imam Syafi’i dan memohon keampunan untuknya.”
Abdullah bin Ahmad bin Hanbal bertanya, “Siapakah lelaki yang bernama Imam Syafi’i itu? Sesungguhnya aku selalu mendengar ayah berdoa untuknya?”
Dijawab Imam Ahmad, “Wahai anakku, Imam Syafi’i itu seperti matahari untuk dunia dan seperti kesihatan untuk manusia. Maka lihatlah, adakah ada pengganti untuk kali kedua?”

[Zaid bin Tsabit bin ad-Dhahak bin Zaid Luzan bin Amru. Masuk Islam ketika berumur 11 tahun, ketika Perang Badar. Penulis wahyu Rasulullah s.a.w. Meninggal di Madinah pada tahun 45H dalam usia 56 tahun (riwayat lain pada tahun 51H atau 52H).]

[Al-Muwaffaq bin Ahmad bin Muhammad al-Makki ak-Khawarizmi, seorang ulama besar. Meninggal pada tahun 568H]

[Sikkah ialah jalan yang rata dan jalan yang memisahkan antara rumah ke rumah. Walaupun jarak antara rumah Imam Abu Hanifah dan rumah gurunya agak jauh, tetapi dia tidak sanggup berlunjur kaki mengadap ke rumah gurunya sebagai tanda memuliakannya.]

[Imam Abu Yusuf ialah Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Anshari, dilahirkan di Kufah pada tahun 112H dan meninggal pada tahun 182H di Kufah]

[Nama sebenar Abu Hanifah ialah an-Nu’man bin Tsabit bin Zutha. Seorang tabi’in dan pernah melihat dan belajar denga beberapa orang sahabat. Menuntut ilmu daripada 200 orang ulama termasuk para sahabat dan tabi’in. Meninggal di penjara Baghdad pada tahun 150H. Tahun kematiannya adalah tahun kelahiran Imam Syafi’i.]

[Imam Hammad bin Abi Sulaiman, murid kepada Ibrahim an-Nakha’i, guru kepada Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah melaziminya dalam tempoh yang lama sehingga menggantikan tempat mengajarnya. Meninggal pada tahun 120H.]

[Nama sebenar Imam Ahmad bin Hanbal ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Marwazi al-Baghdadi. Digelar ‘Abu Abdullah’. Salah seorang Imam mazhab yang empat. Meninggal pagi hari Jumaat bertepatan 12 Rabiulawal 241H ketika berumur 77 tahun.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.