Saturday, September 1, 2012

۝ DI MANA KAMPUNG YANG PALING DEKAT ۝


Kisah 24


Suatu hari, ketika berjalan di padang pasir, seorang tentera bertemu dengan Ibrahim bin Adham.
Dia bertanya, "Kamu seorang hamba sahaya?"
Ibrahim menjawab, "Benar."
Dia bertanya lagi, "Di mana kampung yang paling dekat dari sini?"
Ibrahim menjawab sambil menunjukkan ke arah tanah perkuburan, "Itu, di sana."
Tentera tersebut berkata, "Yang aku cari adalah kampung, bukan kubur."

Oleh sebab rasa dipermain-mainkan, tentera tersebut memukul kepala Ibrahim dengan cemetinya sehingga berdarah. Dia kemudiannya mengheret Ibrahim dan membawanya ke kota.

Sampai di kota, kawan-kawan tentera tersebut bertanya, "Apa sudah terjadi?"
Dia menceritakan apa yang telah terjadi di antara dirinya dan Ibrahim.
Kawan-kawannya berkata, "Lelaki ini adalah Ibrahim bin Adham."
Disebabkan Ibrahim bin Adham dikenali sebagai seorang yang kuat beribadah, tentera tersebut berasa takut, lalu turun dari kudanya dan mencium kedua-dua tangan dan kaki Ibrahim serta meminta maaf atas kesalahannya.
Mereka bertanya kepada Ibrahim, "Kenapa kamu mengaku sebagai hamba sahaya?"
Ibrahim menjawab, "Dia tidak bertanya tentang siapa majikanku, tetapi dia bertanya adakah aku seorang hamba sahaya. Aku mengatakan benar kerana aku adalah hamba Allah. Ketika dia memukul kepalaku hingga berdarah, aku terus berdoa agar dia masuk ke dalam syurga."
Kawan-kawannya bertanya, "Kenapa boleh begitu sedangkan dia telah memukulmu?"
Ibrahim menjawab, "Aku tahu bahawa Allah telah memberikan aku pahala kerana pukulannya. Aku tidak ingin dia mendapat keburukan disebabkan aku, sedangkan aku mendapat kebaikan disebabkannya."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.