Saturday, September 1, 2012

۝ 'ALQAMAH DAN IBUNYA ۝


Kisah 14


'Alqamah, adalah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang taat, warak, kuat beribadah dan rajin pula menderma. Beliau tidak pernah meninggalkan majlis Rasulullah s.a.w. Dia sangat jujur dalam urusan kewangan dan timbangan. Cuma satu sahaja, dia memutuskan hubungan dengan ibunya kerana lebih mengutamakan isterinya.

Ketika hampir meninggal dunia, dia tidak dapat mengucapkan dua kalimah syahadah yang diajarkan oleh para sahabat. Yang peliknya, dia boleh menyebut kalimah-kalimah lain. Ia menghairankan para sahabat lalu melaporkan peristiwa itu kepada Rasulullah. Rasulullah datang dan mengajarnya dua kalimah syahadah, tetapi 'Alqamah tetap tidak dapat mengikutnya.

Rasulullah bertanya kepada isterinya, "Beritahu kepadaku tentang suamimu dan bagaimana amalannya."
Isterinya menjawab, "Wahai Rasulullah, semua amalannya baik kecuali satu perkara."
Rasulullah bertanya, "Apakah itu?"
Dia menjawab, "Demi cintanya kepadaku, dia memutuskan hubungannya dengan ibunya."
Kemudian Rasulullah mengutuskan seseorang menemui ibunya dan Rasulullah berkata, "Sampaikan salamku kepadanya. Tanyakan kepadanya apakah dia mahu datang kepadaku atau aku akan menemuinya?"

Selepas utusan itu sampai di rumah ibu 'Alqamah dan menyampaikan amanat Rasulullah, ibu 'Alqamah berkata, "Diriku sebagai tebusan Baginda, aku lebih berhak mengunjungi Baginda."
"Rasulullah berada di rumah 'Alqamah," Kata utusan tersebut.
Ibu 'Alqamah kemudiannya pergi ke rumah anaknya.
"Maafkan anakmu," Kata Rasulullah.
Ibu 'Alqamah menjawab, "Tidak wahai Rasulullah. Aku tidak boleh memaafkannya. Luka hatiku terlalu dalam. Setiap malam aku tidak boleh tidur malam kerana perasaan marah terhadapnya sedangkan dia tidur nyenyak disamping isterinya. Aku tidak dapat memaafkannya."

Rasulullah meminta berulang kali agar si ibu memaafkannya dan meredhai anaknya, tetapi ibunya tetap dengan pendiriannya. Rasulullah kemudiannya berkata kepada para sahabat yang hadir, "Kumpulkan kayu api."

Sekejap sahaja, banyak kayu api yang dapat dikumpulkan dan kemudiannya dinyalakan atas perintah Rasulullah.

Melihat api yang menjulang tinggi, si ibu bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, apa yang Tuan hendak buat dengan api ini?"

Rasulullah menjawab, "Kami akan melemparkan 'Alqamah ke dalamnya."
Mendengar jawapan itu, ibu bertanya, "Anakku buah hatiku akan Tuan bakar?"
Rasulullah menjawab, "Jika kamu tidak boleh memaafkannya, Allah akan membakarnya dengan api yang lebih dahsyat dan besar di akhirat."
Disebabkan terlalu mengasihani nasib yang akan menimpa anaknya, si ibu akhirnya berkata, "Wahai Rasulullah, aku maafkan dia."
Rasulullah lalu berkata, "Tengoklah 'Alqamah, bagaimana keadaanya?"
Para sahabat bergegas melihat 'Alqamah. Mereka dapat mendengar 'Alqamah mengucapkan kalimah syahadah sebelum kematiannya.

Tanbih (Perhatian)

[Diingatkan bahawa kisah-kisah para sahabat Nabi, radhiAnhum ajma'in, seperti ini bukanlah untuk menceritakan keaiban mereka, jauh sekali merendahkan martabat mereka. Mereka adalah generasi terpilih yang dikurniakan Allah nikmat yang besar iaitu Suhbah ar-Rasul (bersahabat dan bersama Junjungan Mulia, Rasulullah). Merekalah yang berkorban harta, jiwa dan raga membantu Nabi s.a.w. menyebarkan Islam dan mempertahankannya. Merekalah bintang yang daripadanya umat mendapat petunjuk. Kisah-kisah sebegini menunjukkan keterikatan mereka dengan generasi selepas mereka. Sebahagian ulama mengatakan Allah mentakdirkan kehidupan mereka sedemikian agar ia menjadi teladan dan pengajaran kepada generasi seterusnya. Suri teladan yang baik dan diikuti, akan memberatkan timbangan hasanat (kebaikan). Semoga Allah meredhai para sahabat Nabi s.a.w., menambahkan kemuliaan mereka di sisi-Nya dan mengembalikan keberkatan mereka kepada kita semua.]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.