Friday, July 27, 2012

۝ KEADILAN TUHAN ۝

Kisah 1

Antara munajat Nabi Musa a.s. kepada Allah di bukit Tursina ialah, "Ya Allah, tunjukkanlah keadilan-Mu kepadaku,"
Allah berfirman kepadanya, "Jika Aku menampakkan keadilan-Ku kepadamu, engkau tidak akan dapat bersabar dan tergesa-gesa menyalahkan-Ku."
Nabi Musa a.s. berkata, "Dengan taufik daripada-Mu, aku akan dapat bersabar menerima dan menyaksikan keadilan-Mu."

Allah berfirman, "Pergilah engkau ke tempat yang ada mata air. Bersembunyilah di tempat tersebut dan saksikanlah apa yang akan terjadi."
Nabi Musa a.s. pergi ke tempat yang ditunjukkan. Baginda naik ke atas bukit dan bersembunyi sambil memerhatikan sesuatu yang dijanjikan Allah.
Tidak lama kemudian datang seorang penunggang kuda, kemudian berwuduk dan meminum air dari mata air tersebut. Kemudian dia bersolat dan meletakkan satu karung berisi 1000 dinar ditepinya. Selepas itu, dia pergi dengan terburu-buru sehingga terlupa karungnya.

Tidak lama selepas itu, datang seorang anak kecil. Dia meminum air dan melihat karung yang ditinggalkan. Dia mengambilnya dan terus pergi dari tempat itu.

Selepas itu, datang pula seorang lelaki buta. Dia minum dan berwuduk, lalu bersolat. Selepas menunaikan solat dan bersiap hendak pergi, tiba-tiba lelaki penunggang kuda tadi datang kembali.
Dia berkata kepada lelaki buta, "Kamu telah mengambil karungku yang berisi dinar disini."
Lelaki buta terkejut dan berkata, "Bagaimana aku boleh mengambil karung tersebut sedangkan aku tidak boleh melihat?"

Penunggang kuda itu tetap berkeras, "Kamu jangan bohong kerana tidak ada orang lain selain kamu disini."
Lelaki buta itu menjawab, "Betul, hanya aku disini. Tetapi kamu sendiri tahu aku tidak boleh melihat."
Penunggang kuda itu meninggikan suaranya, "Mengambil karung tidak semestinya dengan mata, tangan pun boleh melakukannya!"

Oleh sebab terlalu marah, dia membunuh lelaki buta tersebut. Selepas itu, dia cuba mencari-cari karung pada badan lelaki buta, tetapi tidak menjumpainya. Dia pun berlalu dan meninggalkan mayat lelaki buta disitu.

Selepas melihat kejadian tersebut, Nabi Musa a.s. berkata, "Ya Allah, memang benar kata-Mu, ia benar-benar menguji kesabaranku. Namun, aku yakin sesungguhnya Engkau Maha Adil."

Selepas itu, Jibril a.s. datang dan berkata, "Allah memerintahkan aku agar menyampaikan penjelasan-Nya kepadamu. Dia mengatakan bahawa Dialah yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib yang engkau tidak ketahui. Dia menyebutkan bahawa anak kecil yang mengambil barung berisi dinar telah mengambil haknya semula. Dahulu, ayahnya pernah bekerja dengan lelaki penunggang kuda tersebut, tetapi tidak pernah dibayar gaji. Jumlah gaji yang harus dibayar kepadanya sama dengan sejumlah dinar yang ada didalam karung tersebut. Lelaki buta yang dibunuh tadi sebenarnya adalah pembunuh ayah kepada anak kecil tersebut sebelum dia buta."

-Pengajaran apa yang sahabat dapat? Sila kongsikan bersama :)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.