Sunday, August 21, 2011

Sabar Dan Syukur

Marhaban Ya Ramadhan...
Ramadhan turunnya Al-Quran, untuk menjadi huda linnas (petunjuk kepada manusia)
Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ta'ala kerana memanjangkan umur kita hingga ke hari ini, sempat lagi kita bersama-sama menunaikan amalan berpuasa di bulan yang mulia ini. Jika kita lihat, ada juga sabahat-sabahat kita, saudara kita yang mana tidak sempat untuk meraikan Ramadhan kali ini, kita dipilih oleh Allah untuk terus beramal di bulan mulia ini.


Hari ini, hendak saya berkongsi sedikit Ilmu yang saya ada : Antara Sabar Dan Syukur, yang mana sebenarnya lebih susah untuk diamalkan dibulan Ramadhan?



Dalam bulan mulia Ramadhan Al Mubarak, kita diberi lapar dan dahaga terlebih dahulu, setelah itu kita diberi nikmat berbuka puasa. Disini adalah isinya, bila kita berpuasa, kita merasa lapar dan dahaga, dan kita ketahui ramai umat Islam di dunia ini boleh bertahan yakni bersabar dengan ujian Allah ini. Mereka ini tidak menjamah makanan walaupun lapar, tidak meneguk air walaupun haus dan kekeringan kerongkong. Dapat kita lihat, ramai yang boleh menahan dugaan ini..
Kesabaran adalah penting dalam bulan Ramadhan, jika kita lihat pada bulan Ramadhan, tidak ramai yang melakukan maksiat, bila hendak melakukan maksiat kita berfikir, 'Oh, aku sedang berpuasa,' sekurang-kurangnya dapat menyekat diri dari melakukan maksiat. Sabar dalam bulan Ramadhan ini tidaklah sukar, bahkan ia jauh lebih mudah berbanding bulan-bulan selain dari Ramadhan. Jika ada bersifat pemarah, semakin reda api kemarahan mereka, jika yang merokok mereka berazam untuk berhenti merokok.


Selepas itu kita diberi pula nikmat berbuka puasa, bagaimana perasaan anda ketika berbuka puasa? Nikmat sungguh, akan tetapi berapa ramai umat Islam di Malaysia ini khususnya bersyukur atas kenikmatan berbuka puasa?
Anda mengatakan bahawa anda sudah bersyukur? Bagaimana?
Berbuka puasa sehingga makan dengan berlebih bukanlah syukur, tapi kufur... kufur nikmat, yakni bila diberi kenikmatan ia lupa untuk bersyukur.


Bagaimana caranya bersyukur?
Disunatkan kepada kita berbuka dengan 3 biji kurma dan segelas air. Kemudian solat Maghrib berjemaah di rumah Allah. Disusuli pula dengan solat Isya' dan solat sunat Tarawih dan disudahi dengan witir, bukankah itu cara yang baik untuk memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT? Setelah pulang dari rumah Allah barulah kita menjamah makanan 'berat' untuk mengisi perut.


Banyak kelebihan kita beribadat ketika perut tidak kenyang dan tidak pula lapar, antaranya kita dapat menyempurnakan solat sunat Tarawih dengan tidak penat, perut pula tidak meragam. Ketika kita dalam keadaan sebegini, iman kita bertambah, dan nafsu menjadi tunduk, nafsu menjadi lemah sekiranya badan dalam keadaan lapar, apabila kita dalam keadaan kenyang, pasti pelbagai alasan yang kita kemukakan bagi mengelakkan diri menunaikan solat sunat Tarawih, antara alasannya adalah, terlalu kenyang, sakit perut, penat dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana badan sudah kenyang dan ketika ini nasfu mengawal akal sehingga roh menjadi lemah.


Jika kita tengok dalam bulan Ramadhan ini, 10 hari pertama penuh orang di rumah-rumah Allah, bahkan sehingga solat diluar. Ini kerana 10 hari pertama bulan Ramadhan Allah menurunkan rahmat. Apabila sampai 10 hari yang kedua dalam bulan Ramadhan ramai yang beransur kurang, sedangkan 10 hari kedua Allah membuka pintu keampunan bagi orang yang benar-benar memohon keampunan dan pada 10 hari ketiga pada bulan Ramadhan yang mana tersembunyi malam Lailatul Qadar, pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan ini Allah melepaskan kita dari Api Neraka, tetapi lihatlah masyarakat sekarang semakin hari semakin berkurangan berkunjung ke rumah Allah, ke mana mereka ini? Mereka ini ke gedung membeli belah, kononnya menyambut Hari Raya Aidilfitri...


BERMAKNAKAH AIDILFITRI sekiranya kita tidak dilepaskan dari Api Neraka???


Mari kita renung-renungkan bersama...


“.. sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.


Az-Zumar [53] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas 
terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha 
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


“Demi Zat yang menggenggam jiwaku, sekiranya kalian tidak pernah berbuat dosa, nescaya Allah akan 
mematikan kalian dan menggantikan dengan kaum yang berbuat dosa, lalu mereka memohon ampun kepada Allah dan Allah pun mengampunkan mereka.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.